Bangsa Kedayan merupakan salah
satu bangsa yang menetap di Kepulauan Borneo.
Dipercayai berasal dari Brunei dan berhijrah
ke Sabah, Sarawak dan Labuan. Di MiriSarawak,
kebanyakan bangsa Kedayan menetap di daerah Bekenu. Selain itu, bangsa Kedayan
juga boleh ditemui di daerah Limbang dan Lawas, Sarawak; Sipitang dan Kuala
Penyu, Sabah; dan Labuan. Bahasa yang digunakan
ialah Bahasa Kedayan ("bahasa de facto" Brunei).
Sebahagian kaum Kedayan di Labuan bukannya
orang pantai, dan cenderung menetap di kawasan pedalaman. Manakala sebahagian
yang lain lagi menetap berhampiran pantai. Rumah-rumah di kampung dibina agak
dekat antara satu sama lain, mengikut pola kelompok, dengan taman-taman
bercabang. Kaum Kedayan-Brunei menjadi penduduk majoriti dan memegang kuasa
politik di pulau bebas cukai itu.
Perkahwinan
Adat perkahwinan yang didokumentasikan ini adalah berdasarkan
kajian adat istiadat perkahwinan suku kaum Kedayan yang terdapat di Daerah
Sipitang, Sabah.
Walaupun secara umumnya adat perkahwinan Kedayan hampir sama
dengan adat istiadat perkahwinan Melayu tetapi terdapat beberapa kelainan dan
keunikannya yang tersendiri bermula dari adat merisik, bertunang sehinggalah ke
majlis perkahwinan.
NJAUM-NJAUM
'Njaum-njaum' ialah istilah bagi adat merisik oleh beberapa
wakil pihak lelaki yang datang berkunjung ke rumah pihak keluarga perempuan.
Adat njaum-njaum ini dimulakan dengan pemberian sebentuk cincin
dan wang tunai oleh pihak lelaki kepada pihak perempuan sebagai pembuka mulut
atau pemanis bicara. Jumlah wang pembuka mulut ini tidaklah ditetapkan, ianya
tertakluk kepada permintaan pihak perempuan. Kadar yang dikenakan pada masa
kini biasanya RM 50.00.
Setelah cincin dan wang tunai diterima oleh pihak perempuan,
pihak lelaki akan memberitahu hajat kedatangan mereka untuk meminang anak
perempuan keluarga yang dikunjungi itu.
Apabila pihak perempuan bersetuju untuk menerima hasrat pihak
lelaki maka mereka akan menerangkan mengenai adat istiadat dan disusuli dengan
perbincangan tentang perkara-perkara yang diperlukan pada majlis pertunangan
nanti seperti berikut;
1.
Pihak lelaki hendaklah memberikan
sebentuk cincin emas sebagai tanda pertunangan.
2.
Pihak lelaki hendaklah
menyerahkan sebilah keris yang lengkap dengan sarungnya. Bagi orang Kedayan
keris ini adalah sebagai simbolik pengganti diri lelaki atau dengan kata lain
sebagai penjaga kepada gadis yang telah bertunang dengan teruna. Bagaimanapun
keris tersebut akan diserahkan kembali kepada pihak lelaki selepas sempurnanya
uapacara akad nikah kerana keris tersebut akan digunakan pengantin lelaki
semasa majlis persandingan sebagai tanda kebesaran.
3.
Pihak lelaki hendaklah
menyerahkan sejenis bekas barangan tradisi untuk menyimpan cincin yang
dinamakan kipii dan caamai. Memandangkan kipii dan caamai kini tidak terdapat
lagi di pasaran ia biasanya digantikan dengan wang tunai. Kadar semasa bagi
gantian wang tunai barangan tradisi ini ialah RM50.00.
4.
Pihak lelaki hendaklah
menyerahkan 'sapangadak' pakaian iaitu pakaian untuk sepersalinan lengkap dari
hujung kaki ke hujung rambut. Bagaimanapun terdapat juga kedua-dua belah pihak
bersetuju menggantikannya dengan nilai wang tunai mengikut anggaran harga yang
dipersetujui bersama.
5.
Jika berlaku 'langkah dulang' di
mana perempuan yang hendak bertunang itu mempunyai kakak yang masih belum
bertunang maka pihak lelaki hendaklah menyerahkan sebentuk cincin emas untuk
kakak perempuan tersebut.
6.
Sekiranya berlaku langkah sungai
iaitu pihak lelaki bukan keturunan kuam Kedayan maka pihak lelaki hendaklah
memenuhi permintaan pihak perempuan.
7.
Kedua-dua belah pihak akan
menentukan tarikh majlis pertunangan
MAJLIS PERTUNANGAN
Rombongan lelaki akan datang beramai-ramai membawa hantaran
pertunangan seperti yang dibincangkan pada hari merisik yang lalu. Hantaran itu
biasanya dibawa dengan talam yang dihias mengikut daya kreativiti
masing-masing.
Pihak perempuan akan memaklumkan kepada semua hadirin bahawa
semua hantaran yang dibawa menepati seperti yang telah dibincangkan pada masa
njaum-njaum. Sementara itu pihak perempuan akan memulangkan talam hantaran
dengan mengisi dengan barangan yang bersesuaian untuk dibawa pulang oleh rombongan
lelaki.
Pada majlis pertunangan ini kedua belah pihak pula akan
membincangkan perkara-perkara seperti berikut;
1. Menetapkan tempoh pertunangan dan majlis perkahwinan.
2. Pihak perempuan akan menetapkan 'belanja angus' iaitu
perbelanjaan untuk majlis
perkahwinan pihak perempuan.
3. Pihak perempuan akan menentukan kadar mas kahwin yang
dipanggil 'baiyan' oleh suku kaum Kedayan. Baiyan ini mestilah dibungkus dengan
tiga lapis kain atau sapu tangan berwarnaputih, kuning dan merah. Terdapat juga
yang menggunakan lima atau tujuh lapis kain.Difahamkan ketiga-tiga warna
tersebut mempunyai pengertian dan maksudnya yang
tersendiri iaitu warna putih dan merah menandakan pengantin
perempuan masih suci dan
dara sementara warna kuning menunjukkan hari kebesaran bagi
kedua mempelai.
AMALAN DAN PANTANG LARANG SEMASA BERTUNANGAN
Suku Kaum Kedayan sangat memberatkan beberapa amalan yang murni
bagi memastikan hubungan yang erat antara pihak lelaki mulai terjalin sejak
pertunangan. Antara yang sering diamalkan ialah berziarah antara keduanya yang
dinamakan badudun. Lazimnya pihak yang badudun akan membawa buah tangan kepada
tuan rumah dan sebaliknya.
Disamping itu sepanjang tempoh bertunang kedua pihak hendaklah
menjaga adab susila dan menjaga nama baik keluarga kedua belah pihak.
BABADAK DAN MANDI PENGANTIN
Selepas sempurnanya akad nikah, pada sebelah malamnya pengantin
lelaki dan perempuan akan mengadakan upacara malam 'babadak' iaitu malam
berinai di rumah masing-masing yang disertakan dengan marhaban atau 'badikii'.
Pada majlis ini keluarga terdekat dan orang-orang yang terpilih akan menepung
tawar kepada pengantin. Biasanya tujuh lelaki dan tujuh wanita.
Keesokan harinya pula pengantin akan dimandikan oleh orang-orang
yang terpilih atau yang tinggi ilmu pengetahuannya bagi membangkitkan seri
kepada pengantin. Biasanya upacara ini akan dimulakan dengan beberapa das
tembakan.
MAJLIS PERKAHWINAN
Mengikut masa yang telah ditetapkan, satu rombongan yang
diketuai orang yang menjadi pilihan akan memimpin pengantin lelaki menuju rumah
pengantin perempuan untuk majlis persandingan.
Sebaik tiba di halaman rumah pengantin perempuan, pengantin
lelaki dan rombongan terlebih dahulu akan membuat pusingan melawan arah jam
sebanyak tiga kali. Adat ini dikenali sebagai 'pusaa naga'.
Selepas itu keluarga dari pihak perempuan iaitu salah seorang
adik-beradik pengantin perempuan atau saudara terdekat, akan menyiram hujung kaki
atau kasut pengantin lelaki.
Keluarga pengantin perempuan juga akan menabur beras kuning
kepada pengantin lelaki dan rombongan sebelum naik atau masuk ke rumah
pengantin perempuan sambil disertai ucapan salawat kepada nabi.
Kemudian pengantin lelaki dibawa masuk ke bilik pengantin
perempuan untuk membatalkan air sembahyang. Pada upacara yang dikenali sebagai
'napakakan' ini, telapak tangan pengantin lelaki akan disentuhkan ke ubun-ubun
pengantin perempuan untuk beberapa kali. Dan selepas itu kedua mempelai dibawa
ke pelamin untuk persandingan dan doa selamat.
Selepas majlis persandingan selesai kedua mempelai pula akan
melakukan 'makan babubut' iaitu makan bersuap-saupan antara pengantin lelaki
dan perempuan.
Majlis perkahwinan ini diakhiri dengan upacara 'basulang' di
mana kedua mempelai turun ke tanah tanpa alas kaki dan masuk semula secara
berulang-ulang sebanyak tiga, lima atau tujuh kali.
AMALAN DAN PANTANG LARANG SESUDAH HARI PERKAHWINAN
Pada malam pertama perkahwinan salah seorang pihak keluarga
lelaki hendaklah turut bermalam di rumah keluarga perempuan. Ini bertujuan
untuk menemankan rombongan 'mulih tiga hari' ke rumah pengantin lelaki.
Semasa mulih tiga hari kedua mempelai hendaklah diiringi dan
tidak sekali-kali mereka dibenarkan berjalan tanpa di temani sesiapa kerana
khuatiri perkara yang tidak diingini berlaku.
Disamping itu kedua pengantin baru,tidak dibenarkan mandi di
sungai selama seminggu selapas berkahwin.
No comments:
Post a Comment