Friday 30 September 2016

Perkahwinan Suku Kaum Kedayan


Bangsa Kedayan merupakan salah satu bangsa yang menetap di Kepulauan Borneo. Dipercayai berasal dari Brunei dan berhijrah ke Sabah, Sarawak dan Labuan. Di MiriSarawak, kebanyakan bangsa Kedayan menetap di daerah Bekenu. Selain itu, bangsa Kedayan juga boleh ditemui di daerah Limbang dan Lawas, Sarawak; Sipitang dan Kuala Penyu, Sabah; dan Labuan. Bahasa yang digunakan ialah Bahasa Kedayan ("bahasa de facto" Brunei).
Sebahagian kaum Kedayan di Labuan bukannya orang pantai, dan cenderung menetap di kawasan pedalaman. Manakala sebahagian yang lain lagi menetap berhampiran pantai. Rumah-rumah di kampung dibina agak dekat antara satu sama lain, mengikut pola kelompok, dengan taman-taman bercabang. Kaum Kedayan-Brunei menjadi penduduk majoriti dan memegang kuasa politik di pulau bebas cukai itu.


Perkahwinan 
Adat perkahwinan yang didokumentasikan ini adalah berdasarkan kajian adat istiadat perkahwinan suku kaum Kedayan yang terdapat di Daerah Sipitang, Sabah.

Walaupun secara umumnya adat perkahwinan Kedayan hampir sama dengan adat istiadat perkahwinan Melayu tetapi terdapat beberapa kelainan dan keunikannya yang tersendiri bermula dari adat merisik, bertunang sehinggalah ke majlis perkahwinan.

NJAUM-NJAUM
'Njaum-njaum' ialah istilah bagi adat merisik oleh beberapa wakil pihak lelaki yang datang berkunjung ke rumah pihak keluarga perempuan.

Adat njaum-njaum ini dimulakan dengan pemberian sebentuk cincin dan wang tunai oleh pihak lelaki kepada pihak perempuan sebagai pembuka mulut atau pemanis bicara. Jumlah wang pembuka mulut ini tidaklah ditetapkan, ianya tertakluk kepada permintaan pihak perempuan. Kadar yang dikenakan pada masa kini biasanya RM 50.00.

Setelah cincin dan wang tunai diterima oleh pihak perempuan, pihak lelaki akan memberitahu hajat kedatangan mereka untuk meminang anak perempuan keluarga yang dikunjungi itu.

Apabila pihak perempuan bersetuju untuk menerima hasrat pihak lelaki maka mereka akan menerangkan mengenai adat istiadat dan disusuli dengan perbincangan tentang perkara-perkara yang diperlukan pada majlis pertunangan nanti seperti berikut;

1.     Pihak lelaki hendaklah memberikan sebentuk cincin emas sebagai tanda pertunangan.

2.     Pihak lelaki hendaklah menyerahkan sebilah keris yang lengkap dengan sarungnya. Bagi orang Kedayan keris ini adalah sebagai simbolik pengganti diri lelaki atau dengan kata lain sebagai penjaga kepada gadis yang telah bertunang dengan teruna. Bagaimanapun keris tersebut akan diserahkan kembali kepada pihak lelaki selepas sempurnanya uapacara akad nikah kerana keris tersebut akan digunakan pengantin lelaki semasa majlis persandingan sebagai tanda kebesaran.

3.     Pihak lelaki hendaklah menyerahkan sejenis bekas barangan tradisi untuk menyimpan cincin yang dinamakan kipii dan caamai. Memandangkan kipii dan caamai kini tidak terdapat lagi di pasaran ia biasanya digantikan dengan wang tunai. Kadar semasa bagi gantian wang tunai barangan tradisi ini ialah RM50.00.

4.     Pihak lelaki hendaklah menyerahkan 'sapangadak' pakaian iaitu pakaian untuk sepersalinan lengkap dari hujung kaki ke hujung rambut. Bagaimanapun terdapat juga kedua-dua belah pihak bersetuju menggantikannya dengan nilai wang tunai mengikut anggaran harga yang dipersetujui bersama.

5.     Jika berlaku 'langkah dulang' di mana perempuan yang hendak bertunang itu mempunyai kakak yang masih belum bertunang maka pihak lelaki hendaklah menyerahkan sebentuk cincin emas untuk kakak perempuan tersebut.

6.     Sekiranya berlaku langkah sungai iaitu pihak lelaki bukan keturunan kuam Kedayan maka pihak lelaki hendaklah memenuhi permintaan pihak perempuan.

7.     Kedua-dua belah pihak akan menentukan tarikh majlis pertunangan

MAJLIS PERTUNANGAN
Rombongan lelaki akan datang beramai-ramai membawa hantaran pertunangan seperti yang dibincangkan pada hari merisik yang lalu. Hantaran itu biasanya dibawa dengan talam yang dihias mengikut daya kreativiti masing-masing.

Pihak perempuan akan memaklumkan kepada semua hadirin bahawa semua hantaran yang dibawa menepati seperti yang telah dibincangkan pada masa njaum-njaum. Sementara itu pihak perempuan akan memulangkan talam hantaran dengan mengisi dengan barangan yang bersesuaian untuk dibawa pulang oleh rombongan lelaki.

Pada majlis pertunangan ini kedua belah pihak pula akan membincangkan perkara-perkara seperti berikut;

1. Menetapkan tempoh pertunangan dan majlis perkahwinan.

2. Pihak perempuan akan menetapkan 'belanja angus' iaitu perbelanjaan untuk majlis
  perkahwinan pihak perempuan.

3. Pihak perempuan akan menentukan kadar mas kahwin yang dipanggil 'baiyan' oleh suku kaum Kedayan. Baiyan ini mestilah dibungkus dengan tiga lapis kain atau sapu tangan berwarnaputih, kuning dan merah. Terdapat juga yang menggunakan lima atau tujuh lapis kain.Difahamkan ketiga-tiga warna tersebut mempunyai pengertian dan maksudnya yang
tersendiri iaitu warna putih dan merah menandakan pengantin perempuan masih suci dan
dara sementara warna kuning menunjukkan hari kebesaran bagi kedua mempelai.

AMALAN DAN PANTANG LARANG SEMASA BERTUNANGAN
Suku Kaum Kedayan sangat memberatkan beberapa amalan yang murni bagi memastikan hubungan yang erat antara pihak lelaki mulai terjalin sejak pertunangan. Antara yang sering diamalkan ialah berziarah antara keduanya yang dinamakan badudun. Lazimnya pihak yang badudun akan membawa buah tangan kepada tuan rumah dan sebaliknya.

Disamping itu sepanjang tempoh bertunang kedua pihak hendaklah menjaga adab susila dan menjaga nama baik keluarga kedua belah pihak.

BABADAK DAN MANDI PENGANTIN
Selepas sempurnanya akad nikah, pada sebelah malamnya pengantin lelaki dan perempuan akan mengadakan upacara malam 'babadak' iaitu malam berinai di rumah masing-masing yang disertakan dengan marhaban atau 'badikii'. Pada majlis ini keluarga terdekat dan orang-orang yang terpilih akan menepung tawar kepada pengantin. Biasanya tujuh lelaki dan tujuh wanita.

Keesokan harinya pula pengantin akan dimandikan oleh orang-orang yang terpilih atau yang tinggi ilmu pengetahuannya bagi membangkitkan seri kepada pengantin. Biasanya upacara ini akan dimulakan dengan beberapa das tembakan.

MAJLIS PERKAHWINAN
Mengikut masa yang telah ditetapkan, satu rombongan yang diketuai orang yang menjadi pilihan akan memimpin pengantin lelaki menuju rumah pengantin perempuan untuk majlis persandingan.

Sebaik tiba di halaman rumah pengantin perempuan, pengantin lelaki dan rombongan terlebih dahulu akan membuat pusingan melawan arah jam sebanyak tiga kali. Adat ini dikenali sebagai 'pusaa naga'.
Selepas itu keluarga dari pihak perempuan iaitu salah seorang adik-beradik pengantin perempuan atau saudara terdekat, akan menyiram hujung kaki atau kasut pengantin lelaki.

Keluarga pengantin perempuan juga akan menabur beras kuning kepada pengantin lelaki dan rombongan sebelum naik atau masuk ke rumah pengantin perempuan sambil disertai ucapan salawat kepada nabi.

Kemudian pengantin lelaki dibawa masuk ke bilik pengantin perempuan untuk membatalkan air sembahyang. Pada upacara yang dikenali sebagai 'napakakan' ini, telapak tangan pengantin lelaki akan disentuhkan ke ubun-ubun pengantin perempuan untuk beberapa kali. Dan selepas itu kedua mempelai dibawa ke pelamin untuk persandingan dan doa selamat.

Selepas majlis persandingan selesai kedua mempelai pula akan melakukan 'makan babubut' iaitu makan bersuap-saupan antara pengantin lelaki dan perempuan.

Majlis perkahwinan ini diakhiri dengan upacara 'basulang' di mana kedua mempelai turun ke tanah tanpa alas kaki dan masuk semula secara berulang-ulang sebanyak tiga, lima atau tujuh kali.

AMALAN DAN PANTANG LARANG SESUDAH HARI PERKAHWINAN
Pada malam pertama perkahwinan salah seorang pihak keluarga lelaki hendaklah turut bermalam di rumah keluarga perempuan. Ini bertujuan untuk menemankan rombongan 'mulih tiga hari' ke rumah pengantin lelaki.

Semasa mulih tiga hari kedua mempelai hendaklah diiringi dan tidak sekali-kali mereka dibenarkan berjalan tanpa di temani sesiapa kerana khuatiri perkara yang tidak diingini berlaku.

Disamping itu kedua pengantin baru,tidak dibenarkan mandi di sungai selama seminggu selapas berkahwin.


Perkahwinan Etnik Melanau



Orang Melanau ialah salah satu kaum utama di negeri Sarawak. Dahulunya, sama seperti kaum Iban, kaum Melanau juga tinggal di dalam rumah panjang (yang dibina dengan tinggi). Namun, masyarakat Melanau pada masa kini telah mengubah cara kehidupan mereka dengan tinggal di dalam rumah kampung yang mengikut corak orang Melayu.Kebanyakannya dibina di tepi sungai dan berdekatan dengan pantai. Masyarakat Melanau merupakan suku yang beragama Islam dan Kristian namun terdapat juga yang mempercayai makhluk ghaib yang dipanggil Ipok. ini merupakan rentetan cerita lisan masyarakat ini sendiri yang dikatakan satu kepercayaan berasaskan adat masyarakat.
Suku etnik Melanau berkumpul di persisiran pantai seperti kawasan lembah utara Sungai Rajang, Igan, Mukah, Dalat, Oya, danBintulu. Masyarakat yang terawal di Sarawak menetap di Mukah.


Perkahwinan 
Perkahwinan dalam masyarakat Melanau mengandungi beberapa istiadat yang sangat diambil berat kerana implikasi sosial yang terdapat padanya. Aspek pangkat dititikberatkan dalam institusi perkahwinan berbanding dengan institusi yang lain. Masyarakat Melanau juga begitu mementingkan status sosial mereka iaitu sembilan pikul, tujuh pikul, tujuh betirih dan lima betirih. Jenis barangan dan hadiah yang perlu dibawa untuk tanda tunaeng dan barang yang mengiringi mas kahwin seperti adat menuga, adat mebin dan pakan juga dikira berdasarkan status sosial ini. Namun begitu, asas adat perkahwinan adalah sama seperti masyarakat lain iaitu merisik, meminang dan majlis perkahwinan.

Merisik

Di kalangan masyarakat Melanau, perkahwinan antara pasangan daripada status sosial yang sama dikenali dengan sama gara. Perkahwinan antara pasangan yang berlainan status sosialnya dikenali sebagai sida adat. Wakil pihak lelaki mengunjungi rumah keluarga perempuan untuk mengetahui lebih lanjut dan memastikan status sosial keluarga perempuan dan untuk menentukan sama ada gadis itu sudah berpunya atau belum. Sekiranya gadis itu belum berpunya, ditanyakan sama ada gadis itu boleh dipinang ataupun tidak serta mas kahwinnya.

Meminang

Pada hari yang telah dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak keluarga lelaki dan perempuan, maka diadakanlah adat tanda tunang, wakil keluarga lelaki, iaitu beberapa orang lelaki dan perempuan yang telah berumur akan menyerahkan barang hantaran peminangan iaitu sebentuk cincin emas, sebilah senjata, segantang padi, sebiji kelapa dan satu pikul barang tembaga. Dengan penyerahan barang tersebut oleh wakil keluarga lelaki dan diterima oleh wakil keluarga perempuan maka rasmilah pertunangan itu. Kedua-dua pihak hendaklah mematuhi segala syarat yang telah dipersetujui bersama. Jika persetujuan dilanggar, pertunangan boleh diputuskan. Sekiranya pihak perempuan yang memutuskannya, barang tanda tunang mesti dikembalikan kepada pihak lelaki tetapi jika pihak lelaki yang memutuskannya, tanda tunang itu menjadi milik pihak perempuan.

Majlis Perkahwinan

Majlis perkahwinan diadakan secara besar-besaran kecuali perkahwinan jenis ‘peramas’ iaitu per-kahwinan kerana ditangkap basah. Persiapan untuk rnajlis ini berlangsung beberapa hari lebih awal. Bakal pengantin lelaki dikehendaki menyerahkan hadiah mas kahwin iaitu ‘penyekab’ dan ‘berian’ dan hadiah lain seperti ‘adat menuga’, ‘adat mebin’ dan ‘pakan’ sehari sebelum majlis itu diadakan. Penyerahan ini disusul dengan acara pernikahan. Pernikahan boleh juga di-adakan pada pagi keesokannya iaitu pada hari diadakan majlis perkahwinan. Kenduri perkahwinan diadakan di rumah kedua-dua belah pihak pengantin lelaki dan pengantin perempuan yang dihadiri oleh sanak saudara, jiran dan sahabat handai.
Kemuncak acara majlis ialah persandingan yang biasanya diadakan pada tengah hari. Persandingan pertama diadakan di rumah pengantin lelaki dan ini diikuti dengan persandingan kedua di rumah pengantin perempuan. Pengantin lelaki dan perempuan yang lengkap dengan pakaian tradisional bersanding di atas pelamin untuk disaksikan oleh para jemputan. Pada hari yang ditetapkan, bakal pengantin perempuan bersama-sama rombongan keluarganya pergi ke rumah pengantin lelaki. Ketibaan mereka disambut oleh keluarga pengantin lelaki. Wakil keluarga pengantin lelaki akan menghadiahkan ‘adat pahe’ kepada pengantin perernpuan. Penyerahan hadiah ini sangat penting kerana selagi pengantin pe-rempuan belum menerima hadiah tersebut, dia dilarang memakan sebarang makanan di rumah pengantin lelaki itu.
Selesai bersanding di rumah pengantin lelaki, diada-kan pula persandingan di rumah pengantin perempuan untuk menjalani ‘adat petudui’ iaitu penyerahan pelbagai barang, antaranya termasuklah sebentuk cincin emas dan seutas gelang perak oleh pengantin lelaki kepada pengantin perempuan. Semasa menjalani adat ini, kedua-dua pengantin dikenakan pelbagai pantang larang, misal-nya tidak boleh mandi di sungai dan tidak boleh tidur pada waktu siang.
Pada sebelah malam, di rumah pengantin perempuan diadakan pula upacara makan nasi temuan. Semasa ja-muan berlangsung upacara suap-menyuap antara kedua-dua pengantin itu dilakukan. Selepas itu, diadakan pula upacara ‘begendang’, iaitu tari-menari. Hadirin dijemput untuk ikut serta tetapi pasangannya mestilah daripada kaum sejenis yakni lelaki berpasangan sesama lelaki dan perempuan dengan perempuan. Mereka menari hingga larut malam. Pada hari ketujuh, diadakan upacara mem-bebaskan mereka daripada pantang yang dikenakan. Upacara membuang pantang ini juga bertujuan untuk membuang ke laut segala bala atau bencana yang mung-kin mengancam pasangan suami isteri itu. Upacara ini sebenarnya lebih merupakan upacara bersukaria dan mandi-manda beramai-ramai di tepi pantai.

Perkahwinan Etnik Bidayuh


Kaum Bidayuh adalah masyarakat yang mendiami kawasan barat daya Sarawak, terutamanya Bahagian Serian, Kuching dan di barat Kalimantan. Mereka terdiri daripada empat pecahan etnik iaitu:
1.    Selakau/Lara (Daerah Lundu)
2.    Jagoi/Singai (Daerah Bau)
3.    Biatah (Daerah Kecil Padawan)
4.    Bukar/Sadong (Daerah Serian)[1]
5.    Kuching Tengah / Bidayuh Baru / Bidayuh Moden (Kawasan Tengah Antara Padawan Dengan Bau)
Mereka kebanyakannya beragama Kristian.


Perkahwinan
Bagi masyarakat Bidayuh, perkahwinan ialah satu cara untuk menjadi anggota dan menikmati hak sebagai anggota Biik atau Ramin itu. Masyarakat Bidayuh mengamalkan monogami sahaja. Namun demikian, perkahwinan semula selepas penceraian ialah satu perkara biasa. Oleh sebab larangan yang kuat terhadap inses, perkahwinan luar daripada keluarga sendiri ialah peraturan penting dalam masyarakat tersebut. Masyarakat Bidayuh juga melarang perkahwinan antara sepupu.

Kumpulan seperti Dayak Selako melarang ahlinya daripada berkahwin dengan anggota kaum yang pernah menjadi musuh perang mereka kerana khuatir akan termakan sumpah. Namun larangan tersebut dimansuhkan kerana sudah berlaku perkahwinan yang pertama antara datuk nenek mereka dengan keturunan bekas musuh mereka. Dalam kalangan kumpulan Dayak ukar-Sadong, peraturan tentang perkahwinan agak longgar. Lelaki dan perempuan boleh bebas bergaul dan berkenalan antara satu dengan lain sebelum mereka berkahwin.

Merisik

Dalam masyarakat ini, tidak ada upacara merisik. Perkahwinan biasa berlaku apabila seseorang sudah cukup dewasa dan memilih pasangan hidup. Masyarakat Bidayuh bersikap terbuka terhadap pilihan anak-anak mereka kecuali perkahwinan yang terlarang. Dalam kumpulan Bukar-Sadong dan kumpulan Selako, mereka dibenarkan untuk memilih pasangan yang disukainya tanpa mengira asal kaum.

Meminang

Cara perkahwinan dilakukan berbeza mengikut kumpulan. Dalam kumpulan seperti Selako, Jagoi dan Lara, perkahwinan boleh didahului dengan pertunangan. Pertunangan ditandai dengan pertukaran cincin antara kedua-dua belah pihak. Andai kata pasangan itu merasakan mereka secocok, perkahwinan boleh dilangsungkan kemudian.

Bertunang

Peristiwa perkahwinan berhubung rapat dengan menuai padi. Lebih baik hasil yang diperoleh, lebih banyak perkahwinan dapat dilangsungkan. Ini adalah kerana majlis pertunangan dan perkahwinan melibatkan majlis kenduri yang besar dan mewah terutama bagi anak sulung lelaki atau anak tunggal. Sekiranya mereka gagal mengadakan kenduri pertunangan dan perkahwinan, orang ramai akan mencemuh pengantin lelaki. Kerana itulah apabila hasil padi berkurangan, pertunangan atau perkahwinan juga akan berkurangan.

Usia minimum untuk bertunang bagi anak perempuan adalah pada masa lampau ialah 16 tahun manakala bagi anak lelaki ialah 18 tahun. Selepas memilih bakal tunang dan isterinya, lelaki itu akan melantik seorang perantaraan perempuan. Perantara perempuan tersebut akan menghantar tepak sirih atau kapur tunang atau sebentuk cincin kepada perempuan berkenaan di samping untuk mendapatkan pandangan pihak keluarga perempuan mengenai perkahwinan tersebut.

Majlis Perkahwinan

Majlis perkahwinan yang diadakan sangat bergantung pada kemampuan ekonomi keluarga pengantin. Dalam masyarakat Bidayuh, pilihan tempat tinggal selepas berkahwin bergantung pada banyak faktor. Faktor utama ialah kedudukan ekonomi pasangan yang berkahwin. Pihak suami yang berada dan berkedudukan boleh mempengaruhi pihak isteri untuk tinggal bersama-sama keluarganya (amalan virilokal) dan begitulah sebaliknya (uksorivokal). Dalam keadaan perkahwinan suami isteri yang sudah stabil, mereka boleh duduk di rumah sendiri (amalan neolokal).

Kumpulan Dayak Selako melarang pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan. Perkahwinan boleh berlaku secara 'terpaksa' melalui amalan yang dikenali sebagai 'batangkap'. Ini merupakan amalan apabila pasangan lelaki dan perempuan yang kerap dilihat berdua-duaan boleh dihadapkan kepada para pemimpin kampung supaya tindakan dapat diambil. Mereka yang ditangkap bersetuju untuk berkahwin setelah dibicarakan oleh pemimpin serta penduduk kampung supaya hubungan mereka sebagai suami isteri boleh disahkan dengan mengadakan sedikit upacara setelah denda atas kesalahan mereka telah dijelaskan. Amalan batangkap dilakukan atas pasangan yang menghadapi tentangan daripada ibu bapa.

Satu lagi cara melangsungkan perkahwinan adalah melalui amalan 'nyagam', apabila bakal suami dihantar bersama-sama segala tikar bantalnya ke kediaman bakal isteri setelah mendapat persetujuan daripada pihak perempuan. Biasanya lelaki yang memilih untuk berkahwin cara demikian ialah seorang duda atau balu.

Perkahwinan yang sempurna mengikut pandangan suku Selako, Jagoi dan Lara ialah perkahwinan yang melibatkan pengetahuan, peranan dan perancangan oleh ibu bapa kedua-dua belah pihak. Perkahwinan juga mungkin melibatkan peranan orang perantaraan atau dikenal sebagai picara dalam kalangan masyarakat Selako untuk mewakili pihak lelaki. Setelah semua pihak bersetuju, hari dan masa yang sesuai akan ditetapkan.

Perkahwinan Etnik Iban



Iban atau Dayak Iban (dalam Bahasa Iban, Iban bermaksud orang atau manusia), adalah salah satu rumpun Dayak yang terdapat di Sarawak, Kalimantan Barat, Brunei, Sabah dan Johor. 
Mengikut sejarah lisan, pembentukan dan perkembangan budaya sosial kaum Iban khasnya atau bangsa Dayak amnya terjadi semasa zaman kegemilangan Kerajaan Dayak di Tampun Juah, sebelum kaum Iban dan bangsa Dayak berpecah kepada beberapa subsuku-subsuku yang ada sekarang. Semasa zaman kolonial Inggeris di Sarawak dan Belanda di Kalimantan Barat, kaum Iban sebelumnya dikenal sebagai Dayak Laut dalam pengertian Bahasa Iban Laut bermaksud Melayu (merujuk kepada kaum Melayu). Jika diistilah secara betul Dayak Laut dalam Bahasa Iban bermaksud Dayak Melayu. Fakta ini juga disokong kerana ada satu lagi rumpun bangsa Dayak Laut iaitu Dayak Malayik atau Dayak Melayu yang tinggal di Kalimantan Barat dan Kalimantan Tengah. Fakta ini disokong kerana bahasa Iban adalah bahasa yang paling dekat dengan Bahasa Melayu dan bahasa Iban sendiri berasal dari rumpun Malayic dan berparas rupa serta fizikal dari ras Malayoloid. Kekadang asal-usul maksud Dayak Laut ditafsirkan dalam bahasa Melayu dan diterjemah kepada Bahasa Inggeris bermaksud Sea Dayak sebagai menggenapi maksud Land Dayak yang digunapakai oleh kaum Bidayuhkerana dalam bangsa Dayak dibahagikan kepada 4 subbangsa iaitu Dayak LautDayak DaratDayak Orang Ulu dan Dayak Barito.


Perkahwinan

Perkahwinan dalam masyarakat Iban agak unik kerana terdapat beberapa peraturan yang dilakukan sebelum seseorang itu layak menjadi suami isteri. Dalam masyarakat Iban, usia pengantin lelaki perlu melebihi dua puluh dua tahun. Ini disebabkan dalam usia yang sebegini, pihak lelaki telah bersedia untuk berkahwin. Bagi pihak si gadis pula, tiada umur khusus yang ditetapkan. Perkahwinan yang sempurna bagi masyarakat Iban ialah perkahwinan yang mematuhi kehendak adat. Pihak yang melanggar mana-mana adat perkahwinan dikehendaki membayar denda untuk mengelakkan pasangan suami isteri ditimpa kesusahan. Usaha mencari pasangan bergantung pada keadaan di rumah itu, kalau keluarga itu besar, anak-anak mereka lambat dikahwinkan. Sebaliknya, apabila anggota keluarga di rumah itu kecil, anak-anak mereka akan dikahwinkan secepat mungkin dengan harapan menantu dapat membantu keluarga membuat kerja-kerja tertentu. Terdapat beberapa peringkat tertentu dalam perkhawinan kaum Iban iaitu peringkat merisik, meminang, bertunang, majlis perkahwinan dan selepas majlis perkahwinan.

 Merisik

Pihak keluarga si teruna akan membawa rombongan yang tidak kurang daripada 5 – 20 orang yang terdiri daripada orang-orang tua di dalam keluarga si teruna. Pada masa ini, syarat-syarat perkahwinan akan ditentukan serta diperjelaskan secara terperinci. Ini termasuklah soal mas kahwin serta lain-lain perkara yang berkaitan. Jika kata sepakat sudah diambil, ayahanda si teruna akan menanggalkan lapit atau ikan pinggang perak atau sebilah pedang sebagai tanda pertunangan.
Kebiasaannya yang akan menerima bagi pihak si dara adalah ayahanda si dara atau mereka yang lebih berusia di dalam keluarga si dara. Jika sudah disambut segala ini maka barulah kedua-dua keluarga boleh memulakan perbincangan untuk majlis perkahwinan seperti tarikh dan bentuk majlis yang akan diadakan nanti. Mulai saat ini, si dara sudah secara rasminya tunangan kepada si teruna dan si dara tidak boleh lagi menerima kunjungan teruna yang lain selain daripada tunangannya sendiri. Bagi keluarga si teruna pula adalah perlu untuk mereka memberitahu kepada sanak-saudara dan jiran tetangga mereka mengenai pertunangan anak mereka. Tiada tempoh yang khusus untuk durasi pertunangan ini tetapi menurut masyarakat Iban adalah lebih baik sekiranya majlis perkahwinan dipercepatkan untuk mengelak benda-benda yang tidak diingini daripada berlakurisik

Meminang

Apabila ibu bapa perempuan mendapati risikan itu boleh dipertimbangkan, mereka akan menentukan hari bagi wakil pihak lelaki datang membawa cincin pusaka (dibuat daripada tembaga). Cincin itu juga digelar 'cincin menanti mimpi'. Cincin itu mesti dibawa pada waktu pagi.

Bertunang

Setelah perundingan selesai dibuat, barulah ikatan pertunangan itu dijalankan. Keluarga pengantin akan datang untuk menguruskan ikatan pertunangan itu. Setelah mencapai kata sepakat, ayah pihak lelaki akan menanggalkan “lapit” atau ikat pinggang perak atau sebilah pedang sebagi tanda pertunangan. Mulai dari hari itu, lelaki dan perempuan akan ditanda dengan ikatan pertunangan yang sah. Selepas ikatan pertunangan itu diikat, perempuan yang telah ditunangkan tidak dibenarkan menerima kunjungan lelaki lain selain daripada tunang dan ahli keluarganya sahaja. Jika tidak, perempuan itu akan dianggap mencemari ikatan pertunangan yang baru diikat itu.
Sebentuk cincin di jari masing-masing adalah sebagai tanda ikatan pertunangan dan tanda bahawa masing-masing sudah dimiliki. Tempoh pertunangan kemudian ditetapkan. Tarikh perkahwinan juga turut ditetapkan. Dua atau tiga hari kemudian,wakil dari pihak lelaki akan memaklumkan kepada saudara-mara dan jiran tetangga tentang pertunangan itu. Semasa pertunangan itu, bakal pengantin lelaki dan pengantin perempuan haruslah sentiasa memakai cincin pertunangan sebagai tanda mereka sudah ada yang memiliki. Sekiranya pertunangan itu putus kerana salah seorang yang melakukan kecurangan, maka sesiapa yang melakukan kecurangan itu akan dikenakan denda sebagai menebus malu keluarga pihak yang dicurangi itu. Tetapi, sekiranya pertunangan itu terputus kerana kematian dan sebab-sebab lain, maka hubungan di antara pihak lelaki dan perempuan masih berjalan dengan baik.

Majlis Perkahwinan

Pengantin masyarakat Iban Majlis Perkahwinan Pelbagai persiapan akan dibuat untuk majlis perkahwinan yang bakal tiba. Bagi pihak keluarga lelaki mereka akan menyediakan perbelanjaan serta barang yang harus diberikan kepada keluarga perempuan. Keluarga perempuan juga membuat pelbagai persiapan termasuk memburu binatang untuk disembelih pada hari perkahwinan. Untuk mengundang tetamu, kedua-dua pihak melantik wakil masing-masing untuk menguruskan jemputan kahwin. Wakil itu membawa beberapa utas tali bersimpul yang menunjukkan berapa hari lagi perkahwinan dilangsungkan. Sekiranya tali itu mempunyai lima simpulan, bermakna perkahwinan itu akan berlangsung dalam masa lima hari lagi. Wakil khas akan meninggalkan tali bersimpul itu kepada tuai rumah atau ketua rumah panjang yangbertanggungjawab membuka simpulan tali itu setiap hari.

Selepas Majlis Perkahwinan

Setelah menyucikan diri, pasangan pengantin akan memakai pakaian masing-masing untuk pergi ke rumah pengantin lelaki pula. Di sepanjang jalan, rombongan perlu kelihatan gembira kerana segala kesalahan telah dihapuskan. Seterusnya sambutan yang meriah diadakan pula di rumah pengantin lelaki. Pada sebelah malamnya, kedua pengantin diiringi oleh pengapit masing-masing dan akan disandingkan di atas gong atau kerusi yang dialas kain tenun.
Kemudian beberapa orang tua dijemput untuk berdoa iaitu dengan mengunakan ayam untuk membiau mereka berdua, yang bertujuan untuk memohon agar dewa memberkati mereka berdua. Pasangan ini akan disaksikan oleh hadirin di rumah panjang tersebut. Seterusnya seseorang yang dipanggil tukang ganyang akan memulakan upacara. Ayam yang telah diikat kakinya kemudian dilepaskan dan mentera pun dibaca. Ayam yang telah disembelih itu akan diambil darahnya untuk disemah kepada pengantin. Istiadat ini akan diakhiri dengan jamuan makan dan minum.

Selepas mengadakan majlis di rumah pengantin lelaki, sekali lagi majlis diadakan di rumah pengantin perempuan. Sungguhpun mereka telah sah sebagai pasangan suami isteri, mereka tidak boleh tidur bersama. Si suami masih tidur di ruai iaitu di bilik tetamu. Sebarang bunyi-bunyian yang didengar sepanjang berada di situ akan mempunyai maksud yang tersendiri sama ada baik atau sebaliknya. Ada pasangan yang terpaksa dipisahkan buat sementara waktu kerana mendapat petanda buruk.


Thursday 29 September 2016

Perkahwinan Masyarakat Cina


Masyarakat Cina merupakan  kaum yang kedua terbesar selain daripada kaum Melayu dan kaum India.Pada zaman Kesultanan Melayu Melaka lagi,hubungan politik dan perdagangan antara Kerajaan Melayu Melaka dan Kerajaan China telah wujud berabad lamanya.Ekoran daripada hubungan politik dan perdagngan yang kuat antara kedua-dua buah kerajaan,China pernah berperanan sebagai pelindung kepada  Melaka daripada ancaman Siam pada ketika itu.Kedatangan orang Cina ke Tanah Melayu pada kurun ke-19 disebabkan oleh faktor keperluan tenaga buruh yang semakin meningkat di Tanah Melayu yang dibawa masuk oleh British bagi menangani masalah kekurangan tenaga buruh.Keadaan hidup yang lebih membaik di Tanah Melayu telah menggalakkan kemasukan orang Cina ke Tanah Melayu.Kebanyakan orang Cina datang sebagai tenaga buruh atau tukang kraf.


Perkahwinan 

Perkahwinan Cina menjadi satu adat resam antara tahun 402 - 221 SM. Sebelum zaman moden, perempuan tidak dibenarkan memilih pasangan untuk berkahwin. Sebaliknya, keluarga pengantin perempuan memilih bakal suaminya. Perkahwinan dipilih berdasarkan keperluan untuk pembiakan dan nama baik keluarga, serta keperluan bapa dan suaminya.
Walaupun China mempunyai sejarah yang lama serta banyak kawasan geografi yang berbeza, terdapat enam upacara amal pada umumnya yang secara am dikenali sebagai tiga aksara dan enam etiket.
·         Pinangan: Ketika ibu bapa seorang anak lelaki menentukan bakal menantu perempuan, mereka akan mencari tukang risik yang kerjanya adalah untuk mengurangkan konflik kepentingan serta rasa malu ketika membincangkan kemungkinan perkahwinan antara dua buah keluarga yang biasanya tidak rapat atau langsung dikenali.
·         Pembandingan Hari Jadi: Jika keluarga bakal menantu perempuan tidak membantah terhadap pinangan, tukang risik akan membandingkan hari jadi pasangan tersebut. Jika pasangan itu adalah sesuai menurut astrologi Cina, mereka akan meneruskan ke langkah yang berikut.
·         Harga pengantin perempuan (Hadiah Pertunangan): Keluarga anak lelaki akan mengatur tukang risik untuk menyampaikan harga pengantin perempuan (hadiah pertunangan), termasuk surat pertunangan) kepada keluarga bakal pengantin perempuan.
·         Penyampaian Hadiah Perkahwinan: Hadiah perkahwinan berbeza-berbeza, bergantung kepada adat resam tempatan serta kekayaan keluarga. Makanan dan makanan istimewa merupakan hadiah yang biasa.
·         Pemilihan Hari Perkahwinan: Takwim Cina akan dirujuk untuk menetapkan hari yang bertuah.
·         Upacara Perkahwinan: Upacara terakhir ialah upacara perkahwinan sebenar yang menjadikan pengantin perempuan dan pengantin lelaki sebagai suami isteri, dan terdiri daripada beberapa bahagian yang teliti:
·         Perarakan Perkahwinan: Perarakan perkahwinan dari rumah pengantin perempuan bergerak ke rumah pengantin lelaki. Perarakan itu terdiri daripada sebuah tandu pengantin perempuan, sebuah pancaragam tradisional, sepasukan pengapit pengantin perempuan (jika ada), sertahantaran kahwin pengantin perempuan dalam bentuk wang.
·         Penyambutan Pengantin Perempuan: Perarakan perkahwinan berhenti di hadapan pintu rumah pengantin lelaki. Terdapat upacara-upacara tertentu yang dipatuhi untuk menyambut pengantin perempuan dan ahli-ahli perarakan ke dalam rumah pengantin lelaki. Upacara-upacara tersebut berbeza-beza dari tempat ke tempat.
·         Upacara Perkahwinan Sebenar: Sepadan dengan melafazkan ikrar perkahwinan di Barat, pasangan akan memberi penghormatan-penghormatan kepada Syurga dan Bumi, ibu bapa pengantin lelaki, serta antara satu sama lain.
·         Jamuan Perkahwinan: Dalam masyarakat Cina, jamuan perkahwinan dikenali sebagai xǐ-jǐu yang secara harfiahnya bermaksud "wain kegembiraan", dan kekadang adalah jauh lebih penting daripada majlis perkahwinan pada dirinya. Adanya juga upacara-upacara seperti menuang wain atau teh untuk ibu bapa, pasangan, dan para tetamu.


Perkahwinan Masyarakat India


Orang india Malaysia ialah satu kaum di Malaysia yang berketurunan daripada mereka yang berhijrah dari India Selatan semasa pemerintahan British di Tanah Melayu.Orang india telah berhijrah ke Malaysia sejak 2000 tahun yang lalu.Kedatangan mereka secara berkumpulan seperti komuniti Chitty Melaka dan komuniti Mamak semasa kesultanan Melaka dan semasa pendudukan Melaka oleh orang Portugal dan Belanda.
Tujuan penghijrahan mereka ke Tanah Melayu ialah mensasarkan tujuan perniagaan atau perdagangan.Pada tahun 2005,orang India merupakan lebih kurang 7% daripada jumlah penduduk di Malaysia (sekitar 1.8 juta rakyat.
Perkahwinan masyarakat India di Malaysia diklasifikasikan kepada beberapa jenis iaitu vaitiikat tirumanam, tamil tirumanam, eliyat tirumanam. Perkahwinan masyarakat India biasanya dilaksanakan mengikut golongan etnik iaitu Tamil, Malayalam, Telugu dan sub etnik iaitu Chetti, Mutaliyar, Veelaalar, Teevar dan sebagainya serta status ekonomi, pedanda iaitu Brahmin Gurukkal, Gurukkal, Pandaaram dan sebagainya.

Peringkat pertama

Merisik
Beberapa aspek perlu diberi perhatian seperti faktor etnik, sub etnik, kasta dan agama. Selain itu, faktor-faktor lain seperti status ekonomi dan status sosial merangkumi aspek seperti umur, tahap pendidikan, jenis pekerjaan, etika dan moral, rupa paras dan latar belakang keluarga juga turut diambil kira.

kunjungan ke rumah pengantin
Bakal pengantin lelaki akan mengunjungi bakal pengantin perempuan untuk melihat sendiri paras rupa dan perawakan calon isterinya.Seterusnya ialah mengkaji kecocokan antara kedua-dua bakal pengantin. Adat penyesuaian bakal pengantin dikenali sebagai Thirumanam Poruttam Paartal dijalankan terlebih dahulu, dalam ajaran Hindu tidak terdapat konsep perceraian. Terdapat 21 aspek perlu diambil kira untuk menentukan kesesuaian pasangan bakal pengantin dengan cara tilikan dimanak Hindu.
Justeru, prosedur ikat janji atau niccayam dilakukan selepas mendapat persetujuan kedua-dua belah pihak. Wakil lelaki akan datang ke rumah pihak perempuan dalam jumlah bilangan yang ganjil dengan membawa beberapa barangan seperti kelapa, sirih pinang, bunga-bungaan, buah-buahan, cendana dan kumkum untuk diberikan kepada wakil perempuan.Bakal pengantin lelaki seterusnya akan melafazkan ikat janji bagi menyatakan persetujuan untuk mengahwini bakal pengantin perempuan. Seterusnya perkahwinan tersebut akan diumumkan kepada orang ramai. Sebagai tanda ikatan, kedua-dua pengantin akan menukar sirih pinang yang dinamakan taambuulan marrutal.
Adat parisam 
Terbahagi kepada dua iaitu parisam biasa atau udan parisam. Parisam biasa adalah pemberian hadiah yang dijalankan lebih awal daripada hari perkahwinan, manakala udan parisam adalah pemberian hadiah yang dilakukan pada hari yang sama di sebelah pagi sebelum perkahwinan dilangsungkan. Dalam masyarakat India, parisam umpama sebuah majlis pertunangan. Pihak pengantin lelaki akan menyediakan beberapa jenis hantaran dalam jumlah ganjil. Hantaran ini perlu disediakan oleh wanita yang sudah bersuami sahaja dan mereka dipanggil cumanggali. Bagi memulakan adat tersebut, upacara sembahyang akan dilakukan terlebih dahulu. Kemudian bapa pengantin perempuan akan membawa parisam yang mengandungi sari dan diberi kepada anaknya. Pada masa yang sama pengantin perempuan menulis sesuatu dengan menggunakan kunyit sebagai meminta restu daripada tuhan. Setelah itu barulah pihak lelaki dan jemputan lain boleh melihat puurana kumbum dengan lebih dekat lagi.
Pada hari tersebut, bakal pengantin perempuan memakai sari parisam dan dipimpin keluar oleh seorang wanita lain ke ruang tamu. Pada masa ini beberapa orang saudara-mara boleh mengalungkan kalungan bunga pada bakal pengantin perempuan. Ini dikenali sebagai orrai-maalai atau kalungan tunggal. Pengiring akan memberi kad jemputan kepada kedua-dua pihak pengantin.

Sebelum majlis perkahwinan berlangsung, terdapat beberapa perkara penting yang perlu dijalankan terlebih dahulu, antaranya , kad jemputan memainkan peranan yang penting dalam perkahwinan masyarakat India. Kad jemputan ini dibuat berdasarkan almanak Hindu. Sekiranya terdapat kesilapan, bermakna perkahwinan tidak dapat dijalankan dengan lancar. Kad jemputan yang telah dicetak disapu dengan serbuk kunyit cair sebagai lambang keharmonian.

Adat mukuurtakaal
Dilakukan lima hari sebelum hari perkahwinan dilangsungkan. Adat mukuurtta kaal ini diadakan pada hari yang baik mengikut firasat masyarakat India. Untuk menjalankan adat tersebut sebatang pokok yang masih muda dan lurus akan ditebang untuk dijadikan mukurtta kaal. Batang pokok tersebut berukuran dua atau tiga meter dan mempunyai lilitan batang antara 20 hingga 30 sentimeter. Majlis perkahwinan pula dimulakan dengan upacara niccayam (ikat janji) dengan memberi hadiah seperti pakaian dan lain-lain. Kad undangan disapu dengan air kunyit dibawa ke kuil dalam jumlah ganjil sebagai tanda rasmi undangan perkahwinan.

Upacara Kanggenam
Menanam sebatang pokok yang lurus dan disapu dengan serbuk kunyit tiga hari sebelum hari perkahwinan dilangsungkan. Pengantin lelaki tidak dibenarkan keluar selama tiga hari sebelum hari perkahwinan. Upacara perkahwinan dilakukan oleh Pedanda dengan berdoa supaya pengantin hidup bahagia hingga hari tua. Pedanda akan menabur sembilan jenis bijirin setelah selesai acara menyarung cincin. Pengantin lelaki akan mengalungkan thaali yang diperbuat daripada benang yang disapu dengan kunyit dan hujungnya diikat dengan seketul kunyit kepada pengantin perempuan hingga aras dada. Kedua mempelai memberi hormat kepada ibu bapa atau mertua dengan menukar dulang berisi buah-buahan dan menyapu debu suci pada dahi pengantin.

Selepas perkahwinan, terdapat beberapa adat yang dijalankan oleh masyarakat India selepas berlangsungnya sesuatu perkahwinan. Antara adat tersebut ialah pengantin perempuan dikehendaki pergi ke rumah pengantin lelaki sebagai menghormati suami selepas mereka disahkan sebagai pasangan suami isteri. Kemudian pengantin lelaki pula dikehendaki pergi ke rumah pengantin perempuan selama tiga hari. Pada masa itu, ibu bapa mertua akan menghormati kedua-dua pengantin dengan mengadakan jamuan.